Ringkasan
Kerangka sains PISA 2025 memperincikan kompetensi yang dibina melalui pendidikan sains. Kompetensi yang digariskan dilihat sebagai hasil pendidikan yang penting untuk murid, iaitu bagi melibatkan diri dalam isu berkaitan sains, mempunyai idea berkaitan sains dan menggunakannya bagi membuat keputusan berasaskan maklumat. Kompetensi saintifik ini menjelaskan perkara penting yang perlu diketahui, dihargai dan mampu dilakukan oleh golongan remaja dalam situasi yang memerlukan penggunaan pengetahuan saintifik dan teknologi.
Kerangka sains menghuraikan tiga kompetensi sains dan tiga subset bagi kompetensi sains alam sekitar. Kerangka ini turut menghuraikan tiga jenis pengetahuan yang diperlukan oleh murid dalam kompetensi tersebut, tiga konteks utama cabaran saintifik yang dihadapi oleh murid, dan aspek identiti sains yang dianggap penting.
Pentaksiran Literasi Saintifik PISA 2025 mengukur sejauh mana negara peserta menyediakan murid dengan pemahaman tentang sains dan bagaimana sains menghasilkan pengetahuan yang boleh dipercayai. Perkara ini penting bagi warga yang perlu membuat keputusan peribadi berasaskan maklumat terhadap fenomena berkaitan sains seperti kesihatan dan alam sekitar agar dapat bertindak dalam lingkungan keluarga, komuniti setempat dan masyarakat secara umumnya. Hal ini amat penting dalam abad ke-21 ketika manusia menghadapi keadaan masa hadapan yang tidak menentu, terutamanya apabila melangkah ke zaman Anthropocene, iaitu era perubahan ketara pada sistem Bumi yang disebabkan oleh pengaruh manusia. Justeru, pengetahuan tentang sains menjadi penting pada peringkat individu, serantau dan global bagi menangani kesan ini.